Penampilannya sangat indah sehinggakan keindahannya menjadi inspirasi kepada pelukis Van Gogh menghasilkan karya agung 'Sunflowers'.Dikatakan berasal dari Amerika Selatan. Awal abad ke-19 telah dibawa ke Tanah Jawa. Bunga matahari (helianthus annus), mengikuti ke arah mana pun matahari memancarkan  cahayanya. Bila malam tiba ia tertunduk, bila siang menjelang ia mendongak, mempamerkan keindahannya. Perilaku ini dikenali dengan istilah heliotropik. Juga dikenali sebagai bunga purbanegara dan kembang sarengenge. Spesies pokok hiasan ini mampu menarik serangga yang turut membantu proses pendebungaan untuk menghasilkan biji benih bagi pertumbuhan anak benih baru. Hayatnya hanya dalam tempoh semusim. Persekitaran taman perlu ditanam semula dengan anak benih baru apabila pokok yang lama tidak lagi berbunga, layu dan menyerlahkan daun yang pudar warnanya.
 
Cara menanam bunga ini adalah dengan mengambil biji benih daripada bunga pertama induknya ditabur dalam bekas yang mengandungi tanah basah. Ia mudah bercambah dan cepat membesar. Pindahkan ke polibeg untuk memberi peluang kepada setiap anak benih itu membesar tanpa berlaku perebutan baja dalam ruang bekas yang padat. Proses tumbesarannya adalah cepat dan boleh dijadikan stok pusingan untuk proses penanaman semula pokok menggantikan pokok lama. Kaedah penanaman berkelompok dikenal pasti mampu menyerlahkan pemandangan yang menarik. Sesetengah pakar landskap mengklasifikasikan kaedah itu sebagai mencipta semak (bush) bagi hiasan taman. Cubalah menanam kira-kira 20 polibeg pokok bunga butang dalam satu garisan bulat dan pada garis pusat bulatan itu ditanam pula dengan pokok bunga matahari. Keindahannya pasti terserlah. Penanam juga boleh membina batas mengikut kreativiti tersendiri dengan kombinasi bunga butang yang pelbagai warna bersama serlahan kuning terang bunga matahari. Siraman mesti dilakukan sekurang-kurangnya sekali sehari hari. Penggunaan tanah gembur dan baja organik yang dihasilkan daripada najis haiwan reput, kompos dan tanah bakar amat disyorkan bagi memastikan kesuburan pokok dan wujudnya proses membaiki struktur tanah.

Ramai orang tidak menyedari bahawa bunga matahari mempunyai banyak khasiat di balik keindahannya.  Saat ini, ramai orang hanya memanfaatkan bijinya untuk makanan ringan berupa kuaci biji bunga matahari. Tahukah anda, dalam setiap seratus gram minyak biji bunga matahari, terdapat lemak dengan jumlah seratus, yang terdiri daripada lemak tepu 9,8 dan lemak tak tepu (oleat) sebanyak 11,7. Selebihnya terdapat linoleat sebanyak 72,9 dan tidak mengandungi kolesterol. Web IMPIANA kongsikan dengan anda taman-taman matahari yang menarik pandangan.