Ramai pemilik taman selalu menghadapi masalah bena atau pun aphid. Sekali aphid menyerang dan menjangkiti tanaman, maka risiko semua tanaman di laman turut diserang adalah tinggi. Ini kerana aphid akan menghisap cecair yang berada di dalam batang ataupun daun sebagai punca makanannya. Andai anda melihat pokok yang sebelum ini kelihatan segar bugar tiba-tiba semakin layu dan kekuningan, adalah disarankan untuk anda melihat dengan teliti di sebalik dedaun pokok untuk memeriksa puncanya. Terdapat 5 kaedah untuk mengatasi masalah aphid setelah anda menemui kehadirannya pada tumbuhan.

1. Cantas atau pun pangkas semua dahan pokok untuk membuang kehadiran bena. Jangan risau apabila anda mencantas semua dahan kerana ia akan tumbuh semula nanti. Paling penting buang punca utama aphid yang mungkin akan berpindah ke tanaman lain pula di taman.

2. Setelah mencantas semua dahan, hasilkan sendiri racun organik dan sembur pada tempat jangkitan dan sekitarnya selang dua hari. Ini bagi menghalang ia datang kembali.

3. Selain racun organic cara paling mudah gunakan saja bancuhan sabun basuh dan spray pada dahan pokok.

4. Jika serangan tidak banyak dan ketara, sembur air menggunakan getah paip pada kawasan dijangkiti bena sudah memadai.

5. Jika taman anda sering dikunjungi serangga seperti ladybird adalah satu bonus. Sebabnya ladybird memang suka makan aphids. Mudah kerja anda kan!