Bites Melaka merupakan sebuah kafe kasual milik Matthew Chua yang kini menjadi antara destinasi mesti singgah. Bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan malah pelancong asing.  Menyentuh mengenai keistimewaan yang terletak pada Bites ialah bentuk menu Fusion yang ditawarkan. Seperti yang kita sedia maklum, Melaka cukup kaya dengan adat dan kebudayaan yang bercampur-aduk berzaman lamanya dan untuk itu Bites memilih untuk mengadun konsep Peranakan bersama menu Moden.

Cukup ringkas namun padat dengan inti pati menarik, ruang legar dan makan di Bites tampil Moden dengan sedikit olahan tersendiri. Profil struktur besi berlapisan dan tirai kaca telus pandang membuka bicara untuk orang ramai mengenali Bites dengan lebih dekat lagi. Manakan tidak, ia gah berdiri sambil berjirankan deretan rumah kedai lama yang di antaranya masih mengekalkan struktur asal tersebut. Bites tidak sesekali melupakan rasa nostalgia pada bangunan lama cuma cara mereka menghargai sudut budaya itu tampil berbeza. Bites dibahagikan kepada dua buah aras dengan bukaan siling yang cukup tinggi. Tampil dengan idea rekaan mesra alam atau green design.
 

 

Bites juga menawarkan pilihan untuk menjamu selera di balkoni outdoor bertemankan Jalan Parameswara yang tidak putus-putus diharungi warga kota. Di bahagian belakang pula menempatkan sebuah ruang makan tertutup ala Cocktail untuk jemputan 100 orang. Anda bebas menyewa ruang di tingkat atas ini jika anda berhasrat untuk mengelolakan majlis privasi bersama yang terdekat.