Melihat gaya hias kediaman ini pasti tiada siapa yang sangka segala-galanya berjaya disiapkan hanya dalam masa sebulan sahaja. Hasil kerjasama yang baik antara pereka Fa Yussuf dari Laras Interior  dan pemilik Datin Dr Nurul Azzah Zainal Abidin ternyata mampu memberikan hasil yang boleh dibanggakan. Bermula daripada pilihan perabot, warna dan susun atur ruang segala-galanya tampil begitu sempurna. Pertama kali jatuh cinta pada gaya yang dikaitkan dengan alam semula jadi ini sewaktu belajar di United Kingdom. Setiap hari melihat gaya Inggeris yang segar, nyaman serta menenangkan membuatkan pemilik begitu terdidik dengan gaya Inggeris.  Untuk itu, WEB IMPIANA tampilkan idea segar gaya Inggeris menggunakan adunan rona segar dan tenang yang pastinya menyuntik kedamaian kepada penghuninya. Buat peminat Inggeris mungkin boleh di jadikan sebagai inspirasi.

 

 

Melangkah masuk di kediaman ini ruang makan merupakan ruang yang pertama menyambut tetamu yang datang bertandang. Biarpun hanya set meja makan reka bentuk ringkas, olahan ruang kelihatan sempurna, terancang dan menarik dengan paduan fabrik yang diguna pakai. Ia disesuaikan pula dengan tema warna putih dan warna pastel yang lembut membantu ruang tampak hidup dan lebih menyerlah.




Ruang tamu bergaya ringkas memberikan keselesaan pada mata memandang serta memberi peluang kepada ruang terhad untuk tampil menawan.



Tingkat atas menempatkan tiga buah bilik. Setiap bilik tampil dengan tema dan konsep yang berbeza mengikut karakter masing-masing.



Pada bahagian atas juga, pereka dan pemilik turut menempatkan sebuah ruang santai untuk seisi keluarga. Inspirasi bendera Britain pada sofa serta aksesori tambahan memperlengkapkan konsep penggayaan kediaman ini.

 

Ruang dapur dan sudut laundry yang di bina dengan sentuhan yang cukup menawan. Malah sesiapa sahaja yang memandang pasti akan terpersona.