Tatkala memasuki ruang dapur milik Dr. Muhaya, setiap tetamu yang bertandang disambut dengan rona yang berkilau keemasan. Kemasan akrilik jenis A yang dipilih ternyata menyerlahkan suasana dapur yang mewah dan mendamaikan. Ini lantaran rona emas kekuningan yang dipilih memaparkan kelembutan yang seterusnya menyuntik ketenangan kepada pemilik kediaman dan tetamu yang hadir. Mendapat sentuhan pereka daripada D Format Cabinet Shop, Dr. Muhaya mula tertarik dengan rekaan almari pakaian milik anaknya. Reka bentuk yang menawan dan kemas serta sikap pereka yang profesional membuatkan beliau jatuh hati dengan rekaan daripada D Format itu.




Pereka menghadirkan pelan lantai U yang versatil. Sesuai dengan keluasan dapur yang mencukupi iaitu 15 kaki x 10 kaki, pelan lantai ini mewakili kabinet dasar, kabinet gantung dan tidak ketinggalan zon menonton.  Pada bahagian kabinet dasar, beberapa  zon dapat diwujudkan seperti zon memasak, menyediakan makanan, mencuci dan penstoran. Keluasan yang dimiliki memberi kelebihan kepada zon menyediakan makanan yang luas dan panjang.Ditambah dengan kaunter top yang dibina daripada material batu quartz yang kukuh dan efisien. Batu quartz dipercayai sebagai material yang baik lantaran ciri hygine yang dimiliki, tahan lama dan kelebihan daripada aspek fizikal yang menawan.Kelebihan rekaan daripada D Format pastinya daripada aspek teknologi yang disuntik pada sistem aksesorinya. Menurut perekanya, Farhan zon penstoran digandakan fungsi dengan kehadiran sistem aksesori yang mantap.

Fungsi dapur yang baik tidak berkisar perihal memasak dan menyediakan makanan sahaja. Hal ini dipersetujui oleh Dr. Muhaya sendiri yang menganggap dapur sebagai zon high flow dan dijadikan sebagai ruang interaksi keluarga. “Ruang dapur dianggap sebagai satu ruang keutamaan keluarga. Justeru zon menonton diwujudkan dan elemen lain seperti tingkap yang mengalirkan udara dan cahaya dibina di kawasan dapur. Meja makan saya berbentuk empat segi tepat. Ini menjadikan semua orang yang menikmati makanan lebih dekat dan mesra,” jelas pakar perunding mata ini.