Memilih lantai dapur yang tepat begitu penting pada sesebuah kediaman. Dapur kini menjadi ruang kedua penting selepas ruang tamu di kediaman. Ia bergantung kepada warna yang dipilih, kekerapan laluan dan fungsi yang diperlukan untuk berkhidmat di ruang berkenaan.  Kepelbagaian kemasan lantai dapur juga mempunyai fungsi yang berbeza bergantung kepada kualiti sesuatu material tersebut.  
Selain itu, kemasan lantai dapur juga memerlukan penyelenggaraan yang rendah serta ketahanan untuk jangka masa panjang. Keperluan yang diingini juga perlu seiring dengan gaya serta harga yang mampu milik. Ikuti tip-tip mudah bagaimana memilih kemasan lantai yang tepat untuk dapur.

http://support.karangkraf.com/editorial/imp/5%20FEBUARI%202016/DAP_20130301_7_110TO111_DAP_20130301_7_108TO109_10205865_xxl.jpg

Tip 1: Fikirkan tentang keperluan dapur anda
Memilih kemasan lantai yang betul bermula dengan memahami seberapa kerap anda dan keluarga menghabiskan masa di dapur. Adakah ruang tersebut kerap digunakan atau menggunakannya pada kadar masa yang singkat? Bukan hanya menjadi tempat memasak dan menyediakan makanan, malah penghuni kediaman juga semakin gemar berkumpul untuk menghabiskan masa lapang mereka di dapur. Jadi pentingnya untuk memilih lantai yang tahan lasak dan juga tahan lama.

Tip 2 : Buat perbandingan kemasan lantai
Lantai dapur terdapat dalam pelbagai jenis yang berbeza. Anda mempunyai banyak pilihan untuk dipertimbangkan. Antaranya jubin seramik, jubin batu semula jadi, linoleum, vinil dan kayu padu. Terdapat juga beberapa jenis lantai yang dianggap lebih baik untuk alam sekitar, seperti buluh. Setiap jenis lantai mempunyai kelebihan dan kekurangan bergantung kepada keperluan individu.

Tip  3 : Pertimbangkan cara penggunaan
Lantai dapur yang diperbuat daripada linoleum atau vinil menjadi pilihan buat penghuni kediaman yang tidak mempunyai kelapangan waktu. Ia lebih mudah untuk dibersihkan dan tidak memberi kerumitan untuk membersihkannya. Lazimnya lantai dapur yang diperbuat daripada jubin, dan lantai kayu padu memerlukan usaha yang lebih bagi memastikan ia bersih dan kekal berseri.

Tip 4: Selari dengan bajet
Faktor kewangan menjadi aspek terpenting dalam memilih lantai dapur. Ia bukan sahaja berkait rapat dengan kos lantai serta pemasangan malah perlu memikirkan mengenai penyelenggaraan dan juga mungkin akan menjejaskan nilai jualan semula rumah anda. Sebagai contoh, lantai kayu padu boleh menjadi tinggi harganya terutama jika anda memilih kayu yang lebih eksotik. Secara tidak langsung ia boleh menambah nilai kepada harga rumah anda.

Tip 5: Gaya dan warna
Selain itu perlu pertimbangkan gaya dan warna yang bersesuaian. Pastikan anda memilih material lantai yang menggabungkan dua nilai tersebut dengan baik. Umpamanya jika rumah anda mempunyai banyak kayu gelap dan warna-warna tanah, lantai vinil biru tidak akan menjadi pilihan terbaik. Terdapat pelbagai idea lantai dapur untuk dipertimbangkan. Gabungan konsep kediaman rumah dan dapur perlu disesuaikan untuk gaya hidup anda. Ia bagi memberi keselesaan di tahap maksimum buat penghuni kediaman.

Tip 6: Faktor tambahan
Pilihan lantai dapur juga berkait rapat dengan pantulan material lantai serta warnanya. Material  reflective membantu memantulkan cahaya di sekitar ruang dapur lantas menjadikan ruang tersebut lebih lembut. Sebaliknya bahan-bahan yang menyerap cahaya akan menjadikan ruang semakin gelap secara keseluruhan. Selain daripada itu, lihat rona kabinet yang terdapat di ruang dapur. Ada baiknya lantai dapur dipilih selari dengan rona kabinet. Ini menjadikan ruang dapur kelihatan serasi dan bergaya.

http://support.karangkraf.com/editorial/imp/5%20FEBUARI%202016/DAP_20130301_7_110TO111_DAP_20130301_7_108TO109_14512990_xxl.jpg