Mengejar arus kemodenan dengan binaan kediaman moden yang memukau tidak salah. Namun warisan seni Melayu harus tetap dipertahankan malah perlu ada yang menjaganya agar tidak akan terus tenggelam dek zaman. Atas rasa tanggungjawab inilah, bapa kepada penyanyi dan pemuzik terkenal Monoloque, Dato Anuuar Maarof membina kediaman berkonsepkan warisan tradisi Melayu. Bukan hanya facadenya sahaja melambangkan warisan Melayu malah hampir sembilan puluh peratus kediaman ini termasuklah koleksi perabot yang ada merupakan tinggalan zaman nenek moyang kita dahulu kala. Terletak di dalam kawasan Elit, Kota Damansara banglo ini mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan. Web IMPIANA kongsikan gambar-gambar menarik kediaman ini yang pastinya buat anda terpukau seketika. Bukan hanya cantik tetapi keunikkannya...  


 

Membina kediaman yang penuh seni ini bukanlah semudah yang disangka. Mengambil masa hampir dua puluh tahun bermula dari mengumpul material seperti kayu cengal lama, pintu, tingkap serta ukiran-ukiran seterusnya membaik pulih dan kemudian barulah membina.  

 

Bila lihat tangga batu ini pasti ramai akan terkenangkan rumah orang-orang dulu di kampung. Tangga batu ini seperti wajib ada dan sering di jadikan tempat bersantai.
 


Setiap ukiran dan gaya hadir dengan simetri serta ukuran yang tepat. Uniknya menurut pemilik tukang rumah tidak ada sebarang pelan ataupun lukisan binaan. Semuanya hanya tercatat di kepala dan kemudian direalisasikan hinggalah terhasilnya sebuah kerja tangan yang begitu memukau. Ukiran-ukiran yang begitu halus ditambah pula dengan rona kayu asli yang menawan mencipta satu suasana yang sukar digambarkan dengan kata-kata sebaliknya hanya mata yang mampu berbicara. Menghayati sesuatu yang indah dan tidak ternilai harganya.


 

Idea mengadaptasikan konsep warisan tradisional tidak berhenti dengan kehadiran unsur-unsur lama pada sentuhan seni bina sahaja. Sebaliknya menghidupkan keindahan dan mengundang suasana lebih hebat pada pemilihan perabot.  Uniknya kebanyakan perabot yang ada di dalam rumah ini telah berusia lebih daripada 50 tahun termasuklah barang-barang di dalam bilik ini.




Menurut Dato Annuar antara perabot yang paling lama usianya merupakan meja makan ini. Ia dibeli di Perak di mana satu masa dahulu pernah digunakan oleh pegawai British yang tinggal di Kuarters kerajaan di Malaya sebelum perang. Biarpun sudah mencecah usia hampir 100 tahun namun pembuatannya yang kukuh menjadikan meja ini masih kuat dan boleh digunakan hingga kini.

 

.