Trend dekorasi kini semakin banyak mengetengahkan konsep dapur terbuka. Sekiranya dulu kediaman jenis apartmen dan kondominium sahaja yang mempunyai reka bentuk dapur terbuka kini kediaman teres dan semi D juga banyak mengetengahkan konsep yang sama. Konsep dapur terbuka, di mana ruang dapur menjadi sebahagian daripada ruang tamu ini bukan sahaja menjalin suasana harmoni di antara ruang dapur, ruang makan dan ruang tamu malah ia banyak kelebihan lain. Berikut WEB IMPIANA berikan kelebihan memiliki dapur berkonsep terbuka.

1.   Apabila tiada lagi elemen pemisah antara ruang dapur dan bahagian lain dalam kediaman maka lebih banyak ruang yang boleh didapati dan secara amnya menjimatkan ruang. Meskipun dibina pada saiz yang sederhana, namun dapur terbuka membuatkan ia kelihatan lebih luas. Elemen pemisah seperti pintu atau dinding yang sebelum ini memisahkan bahagian dapur boleh dimanfaatkan sebagai zon bersantai mahupun menikmati makanan melalui pembinaan kaunter bar atau menempatkan meja kopi di situ.

2.   Antara kelebihan yang terdapat pada dapur terbuka adalah adanya peluang untuk berada di dua ruang pada satu-satu masa. Contoh paling mudah anda boleh memantau anak-anak yang sedang bermain di ruang tamu ketika anda bekerja di bahagian dapur.

3.  Dapur yang terbuka sebenarnya membenarkan anda untuk menjadi kreatif ketika melakukan dekorasi ke atas ruang dapur. Antara yang boleh dijadikan inspirasi adalah menjadikan set pinggan mangkuk atau perkakasan memasak sebagai elemen dekorasi.

4.  Anda boleh menjadikan ruang dapur sebagai zon interaksi tidak kiralah antara ahli keluarga mahupun sesama rakan taulan. Mereka boleh duduk sambil bersantai atau menikmati minuman di bahagian kaunter pulau atau kaunter bar ketika anda menyediakan makanan. Terdapat sesetengah dapur terbuka yang turut memiliki televisyen di bahagian dapur dan ia pastinya menjadi zon yang begitu disenangi untuk merehatkan minda.

5.  Dapur terbuka menawarkan zon menghidangkan makanan yang baik. Anda boleh menghidangkan makanan yang siap dimasak semasa masih panas dan segar kerana lazimnya kaunter bar atau kaunter pulau berada berdekatan dengan meja makan.

6. Kini anda tidak perlu berasa gusar dengan pemilihan rona yang ingin digunakan bagi membuatkan ruang dapur tampak luas. Melalui konsep terbuka ini sendiri, ruang dapur secara tidak langsung nampak lebih luas. Apa yang lebih dipentingkan di sini adalah pemilihan unsur bagi tujuan dekorasi. Sekiranya bahagian dapur lebih banyak menggunakan material kayu misalnya, oleh itu bahagian lain di dalam kediaman perlu seiring dengan dekorasi di dapur. Ini bagi mengelakkan kejanggalan dan seluruh kediaman nampak lebih sealiran.