Sekiranya anda tidak mahir menggunakan periuk biasa untuk menanak nasi, mungkin anda akan berhadapan dengan masalah nasi mentah atau tidak cukup masak. Jika ia berlaku, isikan air panas ke dalam sebiji mangkuk kecil yang tahan panas. Kemudian, buat lekuk pada bahagian tengah-tengah nasi. Letakkan mangkuk berisi air panas tadi. Tutup periuk dengan rapat dan biarkan di atas api perlahan selama beberapa minit.

 

Apabila menumis, pasti bau pedas cili menusuk hidung malah boleh menyebabkan anda bersin, mata dan hidung pedih serta berair. Bagi mengelakkan bersin-bersin semasa menumis, masukkan gula pasir ke dalam minyak yang sedang panas. Kemudian, teruskan menumis seperti biasa.

 

Agar sayur celur kelihatan segar, letakkan sedikit minyak ke dalam air rebusan di dalam periuk. Celur sayur beberapa ketika (jangan terlalu lama). Setelah itu, toskan dan anda akan lihat hasilnya. Sayur celur berkilat dan nampak segar.

 

Tidak dinafikan kadangkala kita tidak sengaja terlebih bubuh garam ke dalam masakan. Apa yang perlu anda lakukan adalah ambil sedikit daun pisang dan cuci sehingga bersih. Masukkan daun pisang ke dalam masakan dan rasa masin akan berkurangan.

 

Untuk menjadikan bubur kacang lebih enak, goreng terlebih dahulu kacang tanpa minyak sehingga sedikit garing dan naik bau. Kemudian, rendam kacang dalam air selama dua jam agar kacang cepat kembang malah cepat masak.