Penulis bertuah kerana dapat bertemu dengan pemilik kediaman pilihan kali ini, Zairul Mahat. Seorang anak muda yang memiliki minat yang mendalam dalam penataan interior dan tentunya, kediaman sendiri menjadi medan luahan ekspresi diri. Zairul menyifatkan dirinya sebagai bertuah, apa tidaknya, melihat penggayaan kediaman yang dimilikinya itu sudah cukup menggambarkan semuanya. “Kediaman ini merupakan tempat lepak kegemaran saya. Ia ibarat syurga buat saya dan ahli keluarga atau rakan-rakan yang bertandang,” ulas Zairul memulakan bicara.

 

 

KEDIAMAN REZEKI TERPIJAK


Mula mendiami kediaman ini semenjak tiga tahun lepas, Zairul menyifatkan pemilikan kediamannya tanpa diduga mahupun dirancang. Setelah sekian lama tinggal menyewa, langkahnya membeli rumah di usia muda adalah langkah tepat.
“Ketika bertugas di sekitar Bangi, saya melakukan rutin kerja di projek perumahan seperti biasa. Setelah selesai kerja, saya diajak rakan agar merebut peluang membeli rumah yang dibina. Tanpa berlengah lagi, kami segera membuat tempahan,” imbas Zairul tentang pembelian rumahnya dahulu. Hasilnya, Zairul berjaya memiliki sebuah kediaman sendiri dan menjadi tempatnya ‘melepas geram’ menata rias kediamannya yang tidak pernah dikecap ketika tinggal di rumah sewa dahulu. Akhirnya, penantian dan kesabarannya benar-benar berbaloi.

 

LANGKAH-LANGKAH DEKORASI


Mengimbas kembali di saat berpindah masuk dahulu, Zairul mengambil masa kira-kira dua bulan bagi menyempurnakan penataan kediamannya itu. Ia bukanlah dibuat serentak, tetapi dibuat secara perlahan-lahan dan berperingkat. “Sesetengah aksesori dan perabot dibawa dari rumah lama. Ada antaranya yang telah dibeli sejak sekian lama, namun disimpan dahulu dan hanya digunakan apabila berpindah ke rumah ini,” ujar Zairul panjang lebar. Inspirasinya, pastinya majalah dekorasi seperti IMPIANA selain melalui pemerhatian sendiri yang turut berkait rapat dalam industri rekaan dalaman. “Saya bertugas di jabatan arkitek di sebuah syarikat pemaju hartanah yang banyak berdepan dengan para pereka bentuk dalaman. Saya banyak berkongsi idea dan pandangan tentang penataan interior dengan mereka,” terang Zairul lagi.

 

 

REKABENTUK RUMAH PILIHAN


Jika kebanyakan reka bentuk pelan lantai rumah akan bertemu dengan ruang dapur atau makan terlebih dahulu, namun tidak bagi kediaman ini. Melangkah masuk ke kediaman ini, penulis disambut dengan ruang foyer yang di tatarias ringkas dengan meja sisi dan bunga hiasan rona ceria. Namun, ada kejutan lagi yang lebih mengujakan. Kesan hubungan visual yang terjalin antara ruang foyer ini hinggalah ke ruang tamu dan balkoni serta pemandangan luar nan indah. “Inilah kelebihan reka bentuk pelan lantai rumah ini yang mana ruang tamu dan balkoni terletak selepas ruang foyer. Kedudukan ruang ini memberi banyak kelebihan pada penataan ruang kediaman saya,” komen Zairul tentang pelan lantai rumahnya.
Memang benar, ketiga-tiga ruang ini terjalin rapi dengan penataan dekorasinya yang tersendiri. Malah, saiz ruang yang terhad langsung tidak menghalang Zairul daripada ‘berkarya’ sebaiknya di kediaman tercintanya.

 

 

SENSASI DI RUANG MAKAN


Selain ruang tamu, ruang utama ini turut menempatkan ruang makan sebelum melangkah ke bilik tidur. Meskipun ruang terhad, Zairul bijak menata sempadan ruang dengan penggunaan sebuah almari kabinet terbuka sebagai panel pembahagi secara tidak langsung. Menjengah ke ruang makan yang terletak bersebelahan, sekali lagi percaturan Zairul dalam penataan ruang sempit turut dipamerkan. Hasilnya, kabinet dapur bentuk I kemasan kayu laminasi kelabu menghiasi di kedua-dua sudut dinding ruang ini. “Ruang ini turut menempatkan sebuah meja makan mini sebagai ruang penyediaan makanan atau sebagai ruang meja sarapan sahaja,” jelas Zairul.