Tambahan pula pada ketika itu timbul perasaan dan keinginan untuk membentuk imej hebat di ruang dapur dengan konsep Romantic Country dan cuba lari daripada sentuhan tipikal. Akhirnya terhasillah ruang dapur yang diidamkan hasil lukisan oleh teman saya iaitu Zaitun Ramli. Saya berpuas hati kerana dapur idaman kini dimiliki,” ujar pemilik jujur apabila ditanya mengenai idea penataan ruang dapur kediamannya itu.

 

Mencungkil kisah mengenai pembentukan ruang dapur sempurna bersama Norhayati Hashim, nyata ia bukanlah kerja mudah. Menurut pemilik kerja-kerja berseni seperti ini harus dilakukan dengan teliti agar hasilnya berkualiti dan sempurna. “Idea ini timbul bila saya mula kenal dengan Kak Zaitun. Dia memang pakar di dalam seni folkart. Bila saya lihat hasil kerjanya saya terus jatuh cinta dengan keindahan rekaan kuntuman bunga ros dan rama-rama yang dihasilkan. Begitu menarik dan cantik sekali. Mengabadikan keindahan kerja tangan Kak Zaitun, saya transformasinya ke permukaan pintu kabinet sekali gus dapat memperindah jelmaan ruang dapur.


Ini bertepatan dengan tujuan utama saya untuk menukar keadaan ruang dapur agar tercipta kesinambungan konsep antara ruang dengan sentuhan Romantic Country. Dahulunya kabinet dapur saya tampil polos berwarna hitam. Mainan warna gelap menjadikan ruang dapur kelihatan tidak berseri dan kusam. Kini setelah berubah wajah, ruang dapur kelihatan lebih menarik dan berseri,” jelasYatie mesra. Menumpukan perhatian kepada perincian pintu kabinet yang ditata dengan motif bunga-bungaan, jag, pinggan mangkuk dan sebagainya cukup mempesona. Kehadiran lukisan yang halus seninya ini telah berjaya membentuk penampilan berbeza untuk rekaan di bahagian pintu kabinet sekali gus menyuntik gaya yang tersendiri. “Saya memberi sepenuh kepercayaan kepada Kak Zaitun untuk melakar keindahan seni folk art di ruang dapur ini. Apa yang saya inginkan ia perlulah menyerlahkan motif bunga ros dengan kehadiran rama-rama yang comel. Ternyata, Kak Zaitun pandai membaca cita rasa saya.

 

Idea Kak Zaitun menyerikan pintu kabinet dengan lukisan seakan-akan pinggan mangkuk tersusun kemas di ruang kabinet benar-benar menarik perhatian. Saya cukup terpesona dengan rekaan tersebut. Begitu juga di bahagian kabinet dasar ruang singki, turut diberi sentuhan oleh Kak Zaitun. Keunikan idea yang dibawa berjaya mengubah penampilan dapur secara total,” ujar Yatie lagi.

 

 

Kongsi idea dekorasi bersama teman

 


Percaya atau tidak, keindahan dekorasi di ruang kediaman pemilik ini sebenarnya adalah gabungan idea bersama kawan-kawan rapat dan bukannya idea bersama suami tercinta. Menurut pemilik, apabila minat menghias kediaman dikongsi bersama teman yang bercita rasa sama akan menjadikan penampilan ruang menjadi lebih menarik dan istimewa. “Suami memberi kebebasan untuk saya menghias mengikut cita rasa saya. Suami tidak cerewet dalam menentukan konsep kediaman yang penting ia haruslah selesa. Biasanya suami akan sentiasa bersetuju dan menyokong idea yang ingin saya jelmakan di ruang kediaman ini. Begitu juga halnya dalam memperindah kabinet dapur dan ruang dapur amnya.


Penggayaan langsir daripada material kapas rona putih di ruang dapur ini umpamanya adalah hasil rekaan daripada teman saya bernama Zubaidah Abd Rahim. Menyerikan langsir yang polos, Kak Zaitun telah melukis beberapa motif yang menarik di atasnya. Semua ini terhasil gabungan idea kami bersama-sama. Saya cukup selesa berkongsi idea bersama-sama teman yang sealiran cita rasa. Sumbangan idea yang diberikan dapat membentuk kesempurnaan dekorasi setiap ruang kediaman ini. Tidak dinafikan juga, saya turut merujuk majalahmajalah antarabangsa untuk mendapatkan idea dekorasi yang bersesuaian,” terang Yatie jujur.

 

 

Selesa merai tetamu di ruang dapur

 


Persembahan ruang yang diadun secara praktikal menjadikan ruang dapur bersifat multi fungsi. Bukan sahaja sebagai ruang kerja yang aktif malah turut dijelmakan sebagai ruang makan formal keluarga ini. Berhadapan dengan keluasan ruang yang terhad, bukan penghalang untuk pemilik memiliki ruang dapur dan ruang makan yang selesa. Penggayaan kabinet pada pelan lantai L dibentuk manakala bahagian tengah ruang dipenuhi dengan meja makan untuk enam orang. “Kebaikan atau kelebihan menempatkan meja makan di ruang dapur selain memudahkan untuk menyajikan hidangan. Ia juga satu cara untuk memiliki ruang makan yang istimewa, keindahan dekorasi yang ada di ruang dapur ini secara tidak langsung boleh dinikmati bersama-sama tatkala menikmati hidangan.

Malah saya sendiri turut selesa merai tetamu di ruang makan selain di ruang tamu untuk kunjungan yang formal. Senario bila merai tetamu di ruang makan dapat dirasakan ianya lebih santai dan harmoni. Ini tentu sahaja akan memberikan rasa selesa kepada tetamu yang berkunjung dan berasa ingin berbual lebih panjang,” ujar Yatie sambil tersenyum manis di hujung perbualan.