Percaya dengan bakat dan cita rasa, diperkuatkan dengan dorongan suami, keluarga dan teman-teman, kelebihan menata hias kediaman dengan ilham dan kreativiti sendiri, Tania Pawateh atau lebih mesra dengan panggilan Tania berjaya membuktikannya. Minat yang mendalam terhadap dunia dekorasi sejak kecil juga direalisasikan untuk membuktikan kemampuan diri dalam menterjemahkan penampilan ruang kediaman seindah sentuhan pereka profesional. “I like open plan and open concept. Pada saya, pemandangan ruang yang lepas bebas dan mempunyai connections adalah satu kelebihan. Menjadi satu cabaran buat saya untuk memastikan setiap ruang hadir dengan kelebihan tersendiri kerana setiap satunya dapat dilihat terus tanpa ada sekatan,” ungkap Tania bercerita tentang falsafah idea penataannya.

 

Biarpun terpaksa berhadapan dengan masalah dan rintangan, namun kesungguhan bagi melihat sentuhan sendiri menjadi nadi utama yang memberi kekuatan kepada dirinya. Suami, Helmy Faizal sentiasa menjadi pendorong utama dalam setiap idea yang dilontarkan oleh isteri tercinta. Reka bentuk ‘I’ Pandangan mata dari arah pintu masuk utama menyaksikan pandangan terus ke arah ruang utama dan ruang makan yang berkongsi pelan lantai yang sama. Kedua-dua ruang ini turut berkongsi balkoni berbentuk memanjang yang sangat luas dan selesa untuk bersantai menikmati udara segar. Sebagai unit tepi, kondominium ini mempunyai kelebihan kerana pelan lantai kediaman berbentuk ‘I’ yang memudahkan pemilik mewujudkan pertalian setiap ruang dengan lebih menarik dan hebat. Di sebelah kanan pintu utama, hala tuju terarah ke ruang kamar tetamu dan bilik menyimpan barang atau ruang stor. Manakala di sebelah kiri pula merupakan ruang dapur dan kamar utama yang telah dipecahkan reka bentuk asalnya agar lebih luas dan selesa.

 

Skema warna pastel menjadi dambaan pemilik dipersembahkan dengan penuh kesempurnaan melalui pilihan perabot custom made daripada jenama terkenal, Janine. Menurut Tania, dia sendiri memilih fabrik polos rona perang caramel untuk kerusi makan dengan kemasan berbunga untuk menjadikan ruang makan tampak lebih eksklusif dan istimewa. Manakala meja makan bersaiz besar yang boleh memuatkan lapan orang ini, dihias indah dengan set hidangan ringkas dalam persembahan mewah untuk menikmati hidangan dengan lebih mengasyikkan. Beralih ke ruang tamu, aliran gaya moden klasik masih menjadi pegangan. Perincian dan penggunaan fabrik yang konsisten memberi satu rasa harmoni yang memberi pengaruh kepada persembahan ruang keseluruhannya. Penggunaan ottoman custom made daripada Janine bertindak menggantikan meja kopi yang sudah terlalu biasa. Malahan kehadiran ottoman ini juga boleh dijadikan tempat duduk ketika menerima kunjungan teman dan saudara yang ramai dalam satu masa. Bagi memberi ilusi ruang lebih luas dan berganda, peletakan cermin paras siling banyak membantu. Begitu juga dengan aplikasi kertas dinding jenama Goodrich motif flora menggunakan warna pastel membangkitkan seri ruang selain menyerlahkan ciri-ciri feminin dan elegan serta eksklusif.


“Kehadiran perabot bukan sahaja sebagai pelengkap fungsi ruang, tetapi juga mampu menerbitkan nilai estetika yang mampu memberi impak besar pada keseluruhan penataan ruang. Fungsi, reka bentuk serta cita rasa pemilik itu sendiri perlu selari dan saling berinteraksi untuk memberi kepuasan yang diimpikan,” terang Tania yang juga seorang cake decorator yang menghasilkan tempahan untuk majlismajlis istimewa, formal dan tidak formal.

 

Dapur seenak sajian

 

Pengisian ruang dapur lengkap dengan binaan kabinet dan island melalui paparan warna putih bersih yang mendominasi keseluruhan ruang. Suntikan warna berbeza seperti penggunaan mozek pada latar dinding bersebelahan dapur membantu ruang tampil lebih bertenaga dan bertindak sebagai ‘feature wall’ di ruang memasak. Kehadiran aksesori seperti koleksi balang yang dibeli di Pasar Chatucak, Bangkok, pinggan hiasan dan pasu seramik dengan gandingan warna putih biru menjelmakan gaya tersendiri dalam menonjolkan karakter pemilik yang inginkan kelainan. Pembentukan island bersaiz 4 kaki x 6 kaki di bahagian tengah ruang dapur berfungsi sebagai ruang makan personal bagi pasangan ini terutama ketika menikmati sajian pagi yang dimasak sendiri oleh si isteri. Bakat memasak yang dimiliki memberi kelebihan buat Tania dan menjadi pengikat kasih sayang mereka berdua. “Memasak adalah minat utama saya. Dibesarkan dalam keluarga yang begitu mementingkan kualiti makan bersama, memberi pendedahan kepada saya untuk belajar menghasilkan menu dan resepi menarik sebagai hidangan sekeluarga. Disebabkan terlalu minat terhadap masakan, fokus utama ketika melangkah masuk ke rumah ini adalah untuk menghasilkan ruang dapur yang paling selesa dan menarik untuk aktiviti memasak dan melayan karenah tetamu yang datang,” ungkap Tania yang sentiasa menjadi ruang dapur sebagai ruang bereksperimentasi menghasilkan sajian yang menyelerakan.

 

Kamar seindah ikatan kasih sayang


Hamparan putih bersih yang menghiasi kemasan katil jenama Harvey Norman disulami mood romantik dengan penggunaan lampu sisi menerbitkan suasana ruang kamar utama begitu privasi. Sebagai ruang personal, Tania dan Helmy bijak memilih reka bentuk perabot, kertas dinding, aksesori dan jalinan warna natural untuk membentuk suasana ruang yang harmoni dan mengasyikkan. Kehadiran bantal kecil dengan sulaman huruf ‘T’ dan ‘H’ menggambarkan keakraban dan kekuatan hubungan kedua-duanya sebagai simbolik kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Menambah suasana eksklusif di kamar ini, sebuah armchair rona hijau juga dari Janine ditempatkan di sudut tepi bersebelahan tingkap. Meja sisi yang menampilkan elemen oriental melalui reka bentuk dan warna ternyata memberi kelainan buat pemiliknya. Tidak ketinggalan melengkapkan kehebatan kamar utama ini, pilihan kertas dinding motif geometri dalam kelompok rona yang sama menjadi titik fokal ruang agar terlihat lebih mengagumkan.