RUANG TAMU CIPTAAN RINGKAS
Kehadiran kami sangat dialu-alukan Najib dan isteri bersama dua orang pekerjanya. Saat melangkah masuk ke dalam ruang kediaman, penulis yang ditemani juru foto berasa sangat selesa melihat penataan ringkas dan elegan yang diterjemahkan melalui susun atur dan material yang digunakan. Menurut pemilik, mereka mahukan kediaman yang tampak ringkas dan cipta keselesaan ketika berada di dalamnya. Oleh itu, konsep moden minimalis menjadi pilihan untuk mendominasi ruang kediaman ini. Setiap perabot dan susur atur adalah hasil idea mereka sendiri dan direka khas menurut saiz serta ruang kediaman ini. Estetika minimalis yang diterapkan dapat dihayati melalui penataan ruangan yang serba ringkas, tetapi masih mengekalkan gaya elegan dan bercita rasa tinggi. Warna putih menjadi pilihan dalam melatari segenap ruang dinding dan siling kerana ia memberi ilusi ruang yang luas serta selesa. Namun, dominasi putih tidak dibiarkan begitu sahaja kerana ia akan mewujudkan suasana yang hambar. Sebaliknya, palitan rona kelabu dan coklat hadir melalui perabot mampu memberikan kombinasi warna yang berpadanan.

Ruang tamu yang juga ruang pertama kelihatan sejurus masuk ke dalam kediaman ini dihiasi dengan sofa upholsteri yang diletakkan di tengahtengah ruang. Sofa yang diperbuat daripada kemasan kulit berkualiti ini direka khas oleh pemilik sendiri bagi disesuaikan dengan konsep ruang dan memberikan keselesaan. Panel televisyen rekaan ringkas berpotongan clean cut diletakkan di satu sudut berhadapan sofa mewujudkan dinding tumpu bagi ruangan tersebut. Rekaan moden bersama kabinet di bahagian bawah diperbuat dari tempered glass berwarna kelabu menampilkan kesan glossy\ yang bercita rasa mewah. Ia diserikan lagi dengan hamparan karpet moden rona kelabu gelap menghasilkan tona warna yang serba lengkap.

TITIK FOKUS RUANG SANTAI
“Ruang ini dahulunya ialah ruang kosong, jadi kami bercadang untuk membina dinding pembahagi menjadikan ruang ini sebagai ruang santai bersama ahli keluarga dan sahabat handai yang hadir. Ia seolah-olah wujud satu kampung baharu di tengah-tengah kediaman. Saya sering menjadikan ruangan ini sebagai tempat berborak dan perbincangan bersama rakan-rakan kerana ia tidak terlalu formal,” ujar Najib. Apa yang menariknya di ruangan ini adalah ia tampak bersahaja, bagaimanapun ruangan yang dibina di tengah-tengah kediaman ini sudah cukup bagi mencipta suasana rehat dan santai yang diimpikan. Pancaran matahari yang menjengah dari bumbung diperbuat dari skylight menyimbahi cahayanya di segenap ruangan. Ia dibina dengan ruangan double volume yang memberikan keselesaan dan boleh dilihat daripada tingkat atas. Tambahan laminasi bertekstur kayu yang mewarnai ruang lantai menyuntik elemen natural ke dalam ruangan ini. Namun, ia tidak dibiarkan begitu sahaja
tanpa aksesori sampingan. Bantal berbentuk bulat berwarna hitam dan bantal segi empat berona merah disusun di atas lantai tampil bagi mewujudkan elemen kontras mencipta gaya segar. Selain itu, ia juga menjadi daya penarik ke
arah ruangan santai ini dengan warnanya yang begitu mencuri tumpuan.
“Untuk kemasan dinding, kami memilih memasang jubin berwarna rustik. Kami ingin mewujudkan warna yang sedikit kontras bagi mewujudkan titik tumpu di dalam kediaman,” tambah Najib.

 

3 TIP CIPTA MODEN MINIMALIS

1. Warna - Pilihlah warna bercirikan moden seperti kombinasi rona putih dan kelabu. Ia mencipta keluasan selain bercita rasa eksklusif.
2. Perabot - Rekaan yang ringkas tampil elegan memenuhi ruangan. Elakkan penggunaan perabot yang banyak dan perincian yang terlalu sarat.
3. Material - Gabungan elemen besi dan cermin mewujudkan ruangan yang moden dan tampil ringkas.